MENU

IPOH - Pasukan bola sepak MBI muncul naib juara Kejohanan Bolasepak 9 Sepasukan Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia (MALA) 2018 setelah tewas kepada Pasukan MBPP dengan penentuan tendangan penalti dalam perlawanan akhir di Padang Sultan Abdul Jalil, Ipoh
pada Ahad 7 Oktober 2018.

Kejohanan yang diadakan setiap tahun itu berjaya menarik minat sebanyak 40 pasukan daripada pihak berkuasa tempatan seluruh negara dan ini merupakan penyertaan terbanyak dalam sejarah penganjuran bolasepak 9 sepasukan Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia.

Walaupun sekadar muncul naib johan, pengurusan Pasukan bolasepak Majlis Bandaraya Ipoh tetap gembira dan berpuashati dengan prestasi yang telah ditunjukkan para pemain sepanjang 2 hari kejohanan ini berlangsung.

Menurut Ketua Jurulatih MBI2, Sooresh Rao, "kejayaan ini merupakan kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh pasukan bolasepak MBI sepanjang penyertaan dalam kejohanan bolasepak MALA. Pasukan MBI mempunyai masa yang singkat, iaitu hanya kira-kira 7 hari untuk membuat persiapan berlatih dan bermain sistem 9 sepasukan dan kejayaan layak ke final dan menjadi 2 pasukan terbaik merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan’’.

MBI muncul sebagai juara kumpulan A apabila mencatat 3 kemenangan dan satu seri di peringkat kumpulan.

MBI membuka tirai kejohanan dengan menewaskan MP Nilai 4-0 dan menewaskan MP Kota Bharu 3-0 dalam perlawanan kedua. MBI diikat seri 1-1 dengan MP Subang Jaya sebelum menang dengan MD Tanah Merah 1-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Di pusingan kedua, MBI telah menewaskan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dengan jaringan 1-0 dan seterusnya menewaskan Majlis Daerah Batu Gajah 1-0 dalam perlawanan suku akhir.

Di peringkat separuh akhir pula, MBI menerima tentangan sengit daripada MB Alor Setar namun berjaya menewaskan lawan dengan jaringan 1-0.

Namun hasrat MBI untuk muncul juara Kejohanan Bolasepak 9 Sepasukan Sukan Kerajaan Tempatan MALAYSIA (MALA) buat pertama kali disekat oleh MB PULAU PINANG dalam perlawanan akhir.

Dalam perlawanan akhir tersebut, pasukan MBI menguasai hampir 70% permainan. Walaupun pasukan MBI mengasak bertubi-tubi sejak dari awal permainan, namun MBPP bijak menangkis serangan bertali arus MBI dan berjaya mengikat lawan dengan keputusan seri 0-0 sehingga wisel penamat dan memaksa keputusan perlawanan ditentukan menerusi tendangan penalti.

Namun MBPP bijak mengambil peluang dan tuah berpihak kepada MBPP dalam penentuan tendangan penalti yang mendebarkan dengan keputusan 4-2.  

Selaku johan, MBPP berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan MBI terpaksa berpuas hati dengan RM1,500 sebagai naib johan.

Sebelum itu, tempat ketiga berjaya dimenangi oleh MB Alor setar yang menewaskan MP Port Dickson dengan keputusan 2-0. MBAS membawa pulang wang tunai RM1,000 dan MP Port Dickson terpaksa berpuas hati di tempat ke-4 dengan RM500.