MENU

   

Bandaraya Ipoh telah diberikan pengiktirafan sebagai  pilihan keenam destinasi paling menarik di Asia untuk dikunjungi oleh “Lonely Planet” iaitu sebuah portal pengembaraan terbesar di dunia. Antara kriteria yang dipertimbangkan sebagai pengiktirafan tersebut adalah kewujudan kafe-kafe hipster yang banyak tumbuh di sekitar pekan Ipoh terutamanya di kawasan Pekan Lama dan Pekan Baru.

 Sebenarnya, pengiktirafan yang kita perolehi daripada “Lonely Planet” tersebut bukanlah terjadi secara tiba-tiba atau tidak sengaja tanpa sebarang kawalan daripada pihak MBI selaku pihak berkuasa tempatan. Ianya adalah satu hasil perancangan jangka panjang yang jauh melalui beberapa siri Rancangan Pemajuan yang telah disediakan. Walaupun Rancangan Pemajuan yang dijadikan panduan untuk mengawal pembangunan telah beberapa kali bertukar, tetapi mempunyai kesinambungan dengan meneruskan konsep untuk mengekalkan segala bangunan lama yang bersejarah dan mempunyai nilai senibina serta warisan bandar. Polisi untuk mengekalkan fasad bangunan sediada di beberapa kawasan terpilih terutamanya di Kawasan Pekan Lama juga diteruskan.

 Perancangan Bandar Ipoh telah bermula sejak pemerintahan British lagi di mana "Ipoh (Kinta) Town Plan B3" atau lebih dikenali sebagai Pelan B3 telah diwartakan pada 10 April 1931. Ianya dibuat di bawah Town Board Enactment dan Ipoh adalah PBT pertama di Malaya dalam Malay States yang mempunyai pelan perancangan bandar. Manakala Singapura pula yang pertama di bawah Negeri-Negeri Selat atau Straits Settlement yang mempunyai pelan perancangan bandar. Pentadbiran Negeri-Negeri  Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu diasingkan dari Negeri-Negeri Selat. Pelan Struktur Ipoh yang diwartakan pada tahun 1991 pula telah menyenaraikan 22 buah bangunan-bangunan bersejarah untuk dikekalkan di samping penyediaan garispanduan untuk pengekalan fasad dan keseragaman bangunan.

 Rancangan Tempatan Kawasan Perancangan Pusat Ipoh yang telah diwartakan pada 1997 juga telah menyenaraikan 13 bangunan untuk dipelihara dan dikekalkan disamping menyediakan polisi agar beberapa deretan bangunan perlu mengekalkan fasad yang seragam. Polisi dan garispanduan serta penyenaraian bangunan lama diteruskan dalam Rancangan Pemajuan selepas ini seperti Rancangan Tempatan Ipoh 2020 dan Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh Bandar Warisan Bijih Timah 2020.

 Kini telah wujud peningkatan kesedaran dan minat terhadap pengekalan identiti bangunan lama yang terbukti telah dapat meningkatkan nilai pasaran atau sewaan hartanah tersebut. Berasaskan faktor tersebut, kawalan untuk mengekalkan bangunan dan keseragaman fasad kini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada pemilik bangunan. Ipoh masih mempunyai jumlah bangunan sebelum perang, atau pre-war buildings yang kedua terbanyak di Malaysia selepas Georgetown, Pulau Pinang. Sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan, MBI akan mengambil peluang terhadap perubahan trend terkini untuk mempergiatkan lagi perniagaan, pelancongan di Kawasan Pekan Lama ini dengan menyediakan insentif dan membantu pengusaha dalam menyelaraskan aktiviti dikawasan tersebut.

Semoga Bandaraya Ipoh akan  lebih dikenali bukan sahaja di rantau Asia malahan dunia.