MENU

 

PELAN PERANCANGAN STRATEGIK MBI 2021 - 2030

 

Pelan Perancangan Strategik merupakan garis panduan dalam memastikan segala perancangan dapat direalisasikan sejajar dengan Agenda Global, Kerajaan Pusat, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
 
Pelan Perancangan Strategik MBI 2021-2030 ini dibangunkan dengan kerjasama Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan PLANMalaysia. Pelan yang dibangunkan ini juga merupakan komponen terpenting dalam usaha merangka dasar, menentukan strategi dan pelan tindakan berorientasikan hala tuju Ipoh pada sepuluh (10) tahun akan datang dengan mengambilkira kepada analisis persekitaran dalaman dan luaran.
 
Seiring dengan perubahan masa, Majlis Bandaraya Ipoh juga menghadapi tekanan dan cabaran dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi ekspektasi rakyat. Cabaran-cabaran besar yang kita hadapi pada hari ini, terutamanya situasi pasca COVID-19 perlu ditangani dengan lebih efisien dan efektif demi menggerakkan semula ekonomi bandar raya Ipoh.
 
Pandemik COVID-19 telah mendorong kita, pihak kerajaan, swasta dan masyarakat, meningkatkan usaha menguasai teknologi digital. Seiring dengan perubahan masa, Majlis Bandaraya Ipoh juga menghadapi tekanan dan cabaran dalam usaha untuk mengenal pasti peluang dan meningkatkan pengetahuan dalam penerokaan masa depan digital bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan digital kerajaan berteraskan keperluan rakyat.
 
Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh 2021 ini didukung dengan visi menjadikan Ipoh Bandar Wilayah Pintar berteraskan Ekosistem Mampan dan Bestari Sejahtera. Dengan Memperkasakan Pengurusan Bandar Secara Inklusif Ke Arah Bandar Raya Pintar, Rendah Karbon Dan Bestari Sejahtera Menjelang 2030, pelan ini telah dirangka berasaskan tujuh penandaarasan iaitu:
a) Ipoh Bandar Raya Terbersih di Malaysia Tahun 2023;
b) Ipoh Bandar Raya Pelancongan Utama Negara Tahun 2025;
c) Ipoh Memiliki Infrastruktur Digital Dan Infrastruktur- Infrastruktur Lain, Antara Yang Terbaik Dalam Negara Tahun 2027;
d) Ipoh Bandar Pintar Tahun 2030;
e) Ipoh Bandar Rendah Karbon Tahun 2030
f) Ipoh Bandar Bestari Sejahtera Tahun 2030; dan
g) Ipoh Mencapai Sasaran Bandar Berpendapatan Tinggi Tahun 2030.
 
Pelan ini dibangunkan berdasarkan aspirasi pemegang taruh dan warga kota dengan menekankan matlamat kerberhasilan yang lebih holistik, sistematik dan inklusif dalam merangka lima (5) teras strategik yang menuju ke arah memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan secara pintar, efektif dan dinamik iaitu:
1. Pembentukan Masyarakat Bestari Sejahtera;
2. Memperkasakan Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
3. Kelestarian Alam Sekitar;
4. Mengukuhkan Ekonomi Yang Berdaya Tahan; dan
5. Memperkasakan Tadbir Urus Yang Kompeten.